Wednesday 29 October 2008

RAKYAT MUAK DAN JELAK


Selepas pilihanraya umum ke 12 yang menyaksikan lima negeri di perintah oleh Pakatan Rakyat, kini selepas 7 bulan berlalu dapat disaksikan dan boleh direkodkan pencapaian pemerintahan yang telah dipilih oleh rakyat setelah begitu beremosi dengan isu yang berlegar ketika itu di tambah dengan kekesanan kempen mereka yang dilaksanakan.


Sehingga hari ini, BN khususnya UMNO masih berpilihanraya sesama mereka, selain pemilihan pucuk pimpinan dan mesyuarat Bahagian yang belum selesai. Persaingan sengit merebut kedudukan membolehkan pelbagai tembelang dan kerenah terbongkar dan di ketahui umum. Pertautan yang diikrarkan selepas pilihanraya umum lalu seperti tidak memberi bekas dan tidak menginsafi langsung ahli-ahli dan pemimpin UMNO dan parti komponen BN. Mereka seperti berada dalam dunia mereka sendiri dan begitu ghairah mengejar impian melangit, tanpa sedikitpun berasa segan silu terhadap pandangan dan pesepsi rakyat yang dalam senyap melihat dan mendengar dengan muak dan jelak. Seperti kata Tun Dr. Mahathir dalam temubual di Astro Awani semalam (28.Okt 2008) tidak guna berebut untuk menjadi pemimpin dalam UMNO, sekiranya rakyat muak dan jelak dengan gelagat dan tingkah laku mereka, dimana akhirnya mereka tetap ditolak oleh rakyat terutamanya dalam pilihanraya umum akan datang.


Malah pemimpin parti kompenan BN yang lain juga begitu lantang menyuarakan tuntutan tak masuk akal seperti menghapuskan kuata 30% pegangan ekonomi Bumiputra dalam DEB dan beberapa tuntutan lain seperti mempersoalkan sosial kontrak, telah menambahkan lagi saham kelemahan dan perpecahan di kalangan mereka. Tidakkah para pemimpin ini sedar, bahawa mereka dan parti yang mereka tunjangi itu sudah semakin lemah dan tidak lagi mendapat sokongan padu dari rakyat, sebaliknya masih berasa selesa dan bermegah dengan kedudukan yang bernyawa ikan ini untuk menonjolkan diri sebagai hero dan menangguk di air keroh.


Sewajarnya, dikala ini, semua barisan kepimpinan terutama dari UMNO yang menjadi tunjang kepada BN dan Kerajaan, perlulah mengurangkan ketegangan, memperbaiki kelemahan dan kesalahan, menumpukan kepada usaha penyatuan dan meningkatkan kembali sokongan rakyat dengan menutup dan membuang jauh segala tindakan yang boleh dilihat sebagai penyebab kepada penolakan rakyat.


Tidak dinafikan dan sememangnya UMNO dan BN telah begitu berjasa dalam mengembalikan maruah dan harga diri rakyat dan negara melalui kemerdekaan, serta telah membangunkan negara dengan begitu hebat walaupun baru 51 tahun merdeka. Tetapi adakah kita sudah berasa puas hati dan kini semakin leka dan alpa sehingga agenda nasional dilihat seperti di belakangkan sebaliknya agenda peribadi menjadi keutamaan. Para pemimpin perlulah menyedari bahawa penilaian dan pandangan rakyat umum tidak sama dengan cara berfikir dan tindakan mereka. Kekuatan dan kekuasaan yang di miliki adalah dari rakyat, oleh itu perasaan, kehendak dan pespektif pandangan rakyat harus diambil kira.


Duhai para pemimpin, insaflah dan kembalilah ke pangkal perjuangan sebanar.... masa masih ada, peluang masih terbuka, jangan sehingga nasi sudah menjadi bubur....

Thursday 23 October 2008

KONTRAK SOSIAL DAN PERLEMBAGAAN


Kontrak Sosial
Ini adalah perjanjian, lebih sesuai dikatakan persefahaman yang dipersetujui (asas dokumentasi : Perlembagaan) bersama antara tiga kaum utama di Tanah Melayu sewaktu usaha menuntut kemerdekaan daripada British. Tiga kaum tersebut adalah Melayu, Cina dan India. Seperti yang kita tahu, Melayu memang telah berada di Tanah Melayu sejak berzaman lamanya. (Kepulauan Nusantara adalah meliputi Tanah Melayu) Sewaktu orang Melayu menuntut kemerdekaan daripada British, British telah mengarahkan supaya orang Melayu menerima orang Cina dan India (yang dibawa masuk oleh British) sebagai rakyat dengan hak yang sama di Tanah Melayu. Sudah tentu sajalah orang Melayu ketika itu tidak bersetuju. Oleh kerana tidak bersetuju, British enggan memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Demi tolarensi dan tolak ansu, demi mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu, orang Melayu bersetuju menyerahkan hak kerakyatan Tanah Melayu secara bersyarat.
Disitulah datangnya Kontrak Sosial ini. 5 hak orang Melayu, tetapi orang Melayu bersedia berkongsi satu hak tersebut dengan orang Cina dan India..
5 hak orang Melayu itu adalah:

1. Raja berpelembagaan
2. Agama Islam
3. Bahasa Melayu
4. Hak istimewa orang Melayu
5. Kerakyatan Secara Jus Soli

Dan daripada 5 itu, orang Melayu kongsikan yang ke-5 dengan orang China dan India, iaitu
Kerakyatan diberi secara prinsip Jus Soli kepada orang China dan India yang tinggal di Tanah Melayu sebelum tahun 1957 dan kepada orang Cina dan India yang lahir di Tanah Melayu selepas tahun 1957. Sebab itulah, akhir-akhir ini bila ada beberapa kumpulan yang cuba menuntut supaya hak istimewa orang Melayu dihapuskan, maka mereka kena ingat bahawa apabila mereka berbicara tentang hak istimewa orang Melayu, itu bermakna secara tidak langsung mereka sedang berbicara tentang kerakyatan mereka. Kerana semua 5 perkara di atas datang secara pakej. Pakej 5 dalam 1.



Kaitan Dengan Perlembagaan Malaysia
Dan Perlembagaan Malaysia digubal berasaskan kepada kontrak sosial yang 5 itu. Sebab itulah juga, seandainya kita bercakap tentang menghapuskan hak istimewa orang Melayu, bermakna kita juga kena menukar Perlembagaan Malaysia. Kerana hak istimewa orang Melayu adalah salah satu asas yang membentuk Perlembagaan Malaysia.
Semasa kontrak sosial ini dibincangkan antara Melayu, Cina dan India sebelum merdeka, British telah menawarkan kepada orang Cina dan India - sekiranya mereka tidak bersetuju untuk menerima syarat yang ditetapkan ini, British memberi mereka 2 pilihan:
1.Pulang kenegara asal mereka 2.Berpindah ke negara-negara Asia di bawah jajahan takluk British

Pada masa itulah, beratus ribu orang Cina dan India keluar dari Tanah Melayu kerana mereka tidak percaya orang Melayu mampu mentadbir Tanah Melayu secara bersendirian. Maksudnya mereka lebih percayakan British. Orang Cina dan India (yang menerima dan bersetuju dng Kontrak Sosial) mendapat kerakyatan pada hari ini dengan pengorbanan yang cukup besar daripada orang Melayu. Sejarah yang tertulis ini, ialah nenek moyang mereka telah bersetuju dengan kontrak sosial tersebut dan perlulah diterima dan di hormati sampai bila-bila hakikat ini, oleh semua rakyat Malysia terutamanya kaum Cina dan India.

Wednesday 22 October 2008

AHLI PARLIMEN KULIM/BANDAR BAHARU MASUK UMNO


Ahli Parlimen PKR Kulim Bandar Bharu tanya borang UMNO...

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Nordin anggap cerita-cerita beliau mahu lompat keluar dari Parti Keadilan Rakyat hanya khabar angin.
Namun, jawapannya kepada sekumpulan wartawan di lobi Parlimen, Selasa lalu kedengaran seolah tak begitu kukuh dan bernada ding dong. Lebih menghairankan beliau tidak turut serta dalam sidang akhbar yang diberikan oleh Ketua Pembangkang yang juga bosnya Datuk seri Anwar Ibrahim di lobi parlimen. Sebaliknya beliau yang sebelum ini lama duduk dalam bilik rehat para Ahli Parlimen terus diserbu oleh para wartawan tidak lama selepas sidang akhbar berkenaan selesai.
Naib Presiden PKR Azmin Ali kelihatan menyapanya terlebih dahulu sebelum beliau bercakap dengan para wartawan di depan bilik rehat itu. Zulkifli tidak hadir di Parlimen Isnin bila Mahkamah Tinggi Alor Setar membatalkan petisyen pilihan raya Kulim Bandar Bharu selepas calon BN, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menarik balik petisyen berkenaan.
Dengan keputusan tersebut, Zulkifli yang bertanding atas tiket PKR kekal sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan kekal pada kerusinya. Tindakan Aziz menarik balik petisyen itu telah mencetuskan desas desus panas mengatakan Zulkifli mungkin nak lompat masuk UMNO. Anwar yang ditanya mengenai hal berkenaan berkata Zulkilfi tetap bersama PKR dan mereka saling berhubung.
Antara sebab timbul cerita Zulkifli akan lompat parti ialah beliau kini sedang menunggu hukuman oleh PKR berhubung tindak tanduknya menyertai demonstrasi membantah forum Peluk Islam yang dianjurkan Majlis Peguam tidak lama dulu.
Zulkifli juga pernah beritahu, antara Islam dan parti, beliau akan memilih Islam bagi menegakkan perkara yang benar.
Ketika menjawab soalan para wartawan Selasa lalu, Ahli Parlimen itu kata buat masa ini beliau masih dengan PKR.
“Jika cerita saya nak lompat parti khabar angin, maka khabar anginlah,” katanya.
Seorang wartawan bertanya, sama ada beliau akan masuk UMNO dan ini jawapannya.
“You ada borang?,”
katanya disambut ketawa wartawan dan beliau sendiri.
“Saya kira mungkin saya akan masuk DAP,” tambahnya berseloroh.
Menjawab lebih jelas, Zulkifli berkata, beliau ambil pendirian perjuangan utamanya bagi mempertabatkan Islam dan akan bersama mana-mana parti yang memperjuangan Islam.
“Kalau DAP perjuang Islam, saya sedia sertai parti itu,” katanya.
Zulkifli mengakui dirinya ada masalah mengenai perjuangan Islam dengan PKR berhubung isu bantahan Forum Peluk Islam tersebut.
“Setakat ini belum ada tindakan malah sentiasa saya berhubungan dengan Ketua UMUM PKR, Datuk Seri Anwar,” ujarnya.

ULASAN :

Lagi cepat masuk UMNO lagi baik YB.....
ternyata perjuangan PKR lebih banyak menyimpang dan bercelaru.

APA ITU KONTRAK SOSIAL

KONTRAK SOSIAL MALAYSIA

1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.
2. Hanya berkata ini akan sebabkan kita dituduh bersifat perkauman.
3. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia saya terpaksa imbas semula sejarah.
4. Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.
5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.
6. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.
7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka.
8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan. Apabila Jepun serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh.
9. Orang Melayu di kampung-kampung membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.
10. Di dalam keadaan tegang ini British mencadang penubuhan Malayan Union yang akan memberi "tetamu-tetamu" ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu.
11. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa British untuk kembali keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.
12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.
13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.
14. British terus beri tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu.
15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa letak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.
16. Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.
17. Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan.
18. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.
19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.
20. Ianya merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.
21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.
22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di sekolah menengah swasta.
23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.
24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.
25. Demikian walaupun Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak terdapat jaminan seperti ini yang termaktub di dalam Perlembagaan.
26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.
27. Difahamkan bahasa Cina yang di maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.
28. Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.
29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service) dimana orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.
30. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.
31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.
32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama lima tahun.
33. Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.
34. Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial di London.
35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.
36. Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.
37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka pada tahun 1957.
38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia kontrak sosial ini di panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah, Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Kerana Bahasa Melayu dugunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.
39. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.
40. Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini.
41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.
42. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.
ULASAN:
Sebagai rakyat Malaysia, memahami dan menghayati Kontrak Sosial yang merupakan intisari kepada apa yang disuratkan melalui Perlembagaan sebagai elemen penting bagi mengwujudkan kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara selama ini. Menidakan kontrak sosial bererti mempertikaikan Perlembagaan, sekaligus menolak prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan.
Jangan bermain api, kecil menjadi kawan - besar menjadi lawan, sejarah tidak boleh di ubah, hakikat perlu di terima dan di akui, sejarah adalah jati diri dan maruah bangsa dan negara.

Tuesday 21 October 2008

FITNAH LAGI



Sedutan dari laman web dan blog pembangkang: Pembaca budiman sila baca petikan berita ini :-

Satu berita menggemparkan telah berlaku, dan kami sendiri tidak perasan akan isu ini. Ianya berkaitan dengan laporan tentang Manifesto Najib Razak dalam artikel terdahulu. Sungguh, tidak disangka-sangka bahawa dalam maklumat tentang “perkhidmatan sosial” Najib, ada menyebutkan beliau adalah “Ahli Kehormat FreeMason Malaysia” sejak 1980 hingga sekarang. Ramai yang tertanya-tanya, dari manakan maklumat ini diperolehi?. Kami sendiri terkejut dengan maklumat berkenaan. Namun, suka diingat bahawa segala maklumat berkenaan telah dihantar oleh salah seorang puak-puak UMNO sendiri menerusi “database” profail peminpin UMNO yang terdapat di Ibu Pejabat UMNO Malaysia.

Ulasan : Jika semalam di hebahkan mengenai kononnya manifesto Najib, hari ini disebarkan pulak fitnah baru bagi merosakan imej Najib dan mengganggu perjalanan proses pemilihan UMNO.

Pembaca boleh menilai sendiri, betapa jahat dan merbahayanya fitnah sebegini.
Insaflah duhai manusia, jika nak berpolitikpun, janganlah keterlaluan. Soal politik jangan di libatkan rakyat, agama dan negara. Fikirlah sendiri.....

Monday 20 October 2008

SEJARAH YANG SALAH




Baru baru ini kita pasti ada terbaca di dada akhbar tempatan mengenai kekecohan perebutan sebuah bangunan bersejarah di sempadan Thailand dan Kemboja yang bernama Wat Preah Vi Hear. Jika kita membaca berita ini sekali lalu, kita pasti akan mengatakan bahawa ia tidak ada kaitan dengan sejarah negara kita. Jangkaan saudara meleset sama sekali.Prasat Preah Vi Hear bukannya sebuah wat atau kuil malah ia adalah sebuah bangunan istana yang pernah didiami oleh Raja Siam Islam Kemboja Cempaka Sari bernama Po Chan Koya Long. Maksud Prasat-Prah-Vi-Hear ialah, Pertahanan-abang-pusingan-kelima. Sila rujuk salasilah Koya Long yang mempunyai 5 orang beradik. Sebelum pada ini ada diceritakan mengenai anakanda sulong Khalifah Syarif Abu Bakar Syah yang bergelar Po Chan bermaksud Putera Sulong yang pernah memerentah di Kemboja Cempakasari sebelum diusir oleh tentera Raja Buddha Thai dan baginda kembali ke Legeh (Patani, Yala, Narathiwat, Kelantan dan Trengganu) bersama-sama ribuan pengikutnya.

MENGENALI HINDRAF

Oleh:
Leftenan Jeneral Datuk Mohd Salleh Ismail
Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan


SEJAK beberapa bulan kebelakangan ini, antara perkembangan agak dramatik berlaku di negara kita sehingga menimbulkan kekalutan domestik dan menarik perhatian masyarakat antarabangsa adalah pergerakan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).
Malah, tindakan penyokong Hindraf yang menimbulkan kekecohan ketika Rumah Terbuka Perdana Menteri serta Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1 Oktober lalu, disifatkan sebagai 'sangat mengancam' oleh pihak kerajaan.
Hindraf yang diisytiharkan kerajaan sebagai pertubuhan haram kelmarin, adalah sebuah pergerakan yang terdiri daripada 30 badan bukan kerajaan (NGO) Hindu. Hindraf mula mendapat perhatian apabila pemimpinnya mengambil tindakan mengejut memfailkan tuntutan saman ke atas Kerajaan British di Mahkamah Agung atas alasan London gagal memastikan hak pekerja India yang dibawa mereka, terjamin di sisi undang-undang Persekutuan selepas merdeka.
Dokumen berhubung tuntutan itu juga difailkan di Mahkamah British dengan memfokuskan kegagalan Suruhanjaya Reid yang didakwa gagal menggariskan dengan jelas kebebasan mereka untuk memuja dan beragama dalam masyarakat pelbagai bangsa, mengambil kira pengambilan etnik India dalam Perkhidmatan Awam Malaysia dan mewujudkan formula polisi ekonomi yang efektif bagi meningkatkan kedudukan sosioekonomi golongan minoriti India.
Atas sebab kelalaian ini, Hindraf mendakwa 'kesemua 523 sekolah Tamil di Malaysia gagal menerima bantuan yang sama seperti sekolah bantuan penuh sebagaimana sekolah kebangsaan'. Kanak-kanak India juga didakwa tidak menikmati 'peluang yang sama bagi pendidikan tinggi', dalam perniagaan dan pelantikan ke jawatan tinggi dalam sektor perkhidmatan awam.
Menurut dokumen itu juga, diskriminasi ini akhirnya menyebabkan etnik India di Malaysia berada pada kedudukan yang rendah.
Memang tidak dinafikan etnik India di Malaysia, pada mulanya bekerja sebagai buruh kasar di ladang dan pembinaan jalan raya serta kereta api turut membantu membangunkan ekonomi negara, khasnya dalam perkembangan infrastruktur dan pertumbuhan pesat dalam industri getah serta kelapa sawit.
Dakwaan oleh etnik India terhadap kerajaan ini juga sebenarnya pernah disuarakan oleh etnik Cina sejak merdeka dulu. Antara kekecewaan paling besar kaum Cina adalah berkaitan pelaksanaan polisi kerajaan berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Dalam pada itu, Hindraf juga berusaha mendapat perhatian antarabangsa berhubung masalah etnik India apabila turut merayu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Rapat umum dan demonstrasi yang dianjurkan mereka juga mendapat liputan media di India.
Hindraf pada asalnya adalah kempen rayuan oleh orang kebanyakan daripada kumpulan etnik India. Namun, kini ia bertukar kepada isu berbaur hasutan perkauman. Peningkatan suara etnik India terhadap kedudukan mereka yang terpinggir ini jelas memberi petunjuk berlaku perluasan skop dan masalah sosial mereka yang semakin kompleks kini.
Kebanyakan masalah itu sememangnya wajar diberi perhatian. Namun, etnik India seharusnya menyuarakan masalah mereka mengikut saluran betul berasaskan undang-undang dan tidak sepatutnya menyentuh isu sensitif yang boleh mencetus ketegangan kaum di negara ini.
Usaha Hindraf menggunakan sentimen perkauman ini juga dilihat tidak memungkinkan masalah etnik India di Malaysia ini akan diselesaikan. Apa yang jelas, Hindraf hanya akan menjarakkan lagi hubungan rakyat pelbagai kaum dan meningkatkan perpecahan pelbagai etnik.
Bagaimanapun, ada satu perkara yang ketara berhubung Hindraf iaitu rapat umum dan demonstrasi mereka ini dilihat tidak mempunyai kaitan ketara dengan mana-mana parti pembangkang. Ini memperlihatkan Hindraf sebuah kumpulan di luar sistem politik dominan yang diwakili Barisan Nasional (BN) mahupun pelbagai parti pembangkang lain.
Sebagai penutup, ada beberapa pemerhatian yang boleh dirumuskan iaitu:
Pertama, adalah tidak dinafikan bahawa ketika Suruhanjaya Reid merangka Perlembagaan Negara, suruhanjaya ini terlepas pandang beberapa isu yang boleh memberi implikasi langsung kepada kepentingan jangka panjang sesebuah etnik minoriti dan kegagalan ini menyebabkan pihak birokrasi mengabaikannya. Namun begitu, adalah tidak wajar untuk menghukum Kerajaan British sekarang ini di atas kesilapan yang dibuat lebih 50 tahun dulu.
Kedua, seperti dibincangkan, masalah etnik India yang diperjuangkan oleh Hindraf tidak hanya terhad kepada etnik India saja. Etnik Cina, misalnya menyuarakan rasa tidak puas hati mereka lebih lama sejak beberapa dekad lalu. Pihak etnik Cina juga kurang senang dengan polisi ekonomi dan turut bimbang sekiranya polisi kerajaan yang bakal dilaksanakan, mungkin mempengaruhi hak kebudayaan, peluang ekonomi dan pendidikan mereka.
Ketiga, kempen Hindraf juga memperlihatkan bahawa komuniti India mempunyai saluran terhad dalam menyuarakan masalah mereka untuk meraih perhatian kerajaan. Dalam konteks ini, pihak MCA membuat kajian lebih baik dalam mendalami masalah etnik Cina dan kerap menganjurkan pertemuan serta dialog dengan kerajaan bagi membincangkan kaedah terbaik menyelesaikan masalah masyarakat Cina.
Malah, ada NGO Cina seperti 'Chinese Assembly Hall', pertubuhan perdagangan dan puak/suku juga kerap menyuarakan permasalahan kaum Cina menerusi memorandum berdasarkan kajian menyeluruh. Pendekatan ini dilihat banyak membantu kerajaan dalam merangka polisi dan pelaksanaan bagi memastikan pendekatan lebih seimbang atau sebaik mungkin dapat memenuhi keperluan atau kepentingan setiap kumpulan etnik.
Keempat, kempen Hindraf boleh disifatkan sebagai demonstrasi kepada rasa tidak puas hati mereka terhadap kepemimpinan MIC. Sebagai reaksi, Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu menegaskan beliau akan menstruktur semula parti menerusi apa yang digelar proses 'pembersihan'.
Dengan cara ini, kepemimpinan MIC berharap dapat memperkukuhkan lagi kedudukan mereka dan memecat mereka yang tidak efektif bagi meraih sokongan etnik India. Peningkatan simpati kepada Hindraf dalam MIC dan komuniti India terbukti apabila sokongan terhadap BN berkurangan pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac lalu sehingga membawa kepada kemenangan pembangkang di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Kelima, satu langkah bersifat pemulihan yang boleh dilakukan kerajaan ialah membentuk sebuah jawatankuasa bagi menemuramah komuniti India daripada pelbagai daerah dalam negara secara mendalam serta menghasilkan senarai soal jawab yang bersesuaian bagi melihat reaksi etnik berkenaan terhadap beberapa isu seperti polisi ekonomi, pendidikan dan kebudayaan yang dilaksanakan kerajaan.
Dengan cara ini, kerajaan akan beroleh maklumat lebih relevan berkaitan masalah etnik India dan boleh mencari penyelesaian yang lebih praktikal.
Keenam, fenomena Hindraf adalah petunjuk kepada dilema etnik India terhadap masa depan mereka dan strategi efektif dalam memulihkan nasib mereka yang dikatakan terpinggir selama ini. Dengan membawa isu ini kepada pihak antarabangsa mahupun menekan New Delhi untuk mencampuri urusan etnik India di Malaysia dilihat tidak dapat membantu mengurangkan dilema berkenaan.
Terakhir, pilihan paling praktikal kepada etnik India dalam memperjuangkan kepentingan mereka adalah menerusi pihak kerajaan. Protes oleh pihak Hindraf dilihat menyedarkan kerajaan akan seriusnya masalah terbabit.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga sudah mengarahkan Presiden MIC untuk membentuk jawatankuasa khas bagi melaksanakan kajian mendalam berhubung permasalahan etnik India dan mencari langkah bagi meningkatkan kedudukan mereka dalam arena politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.
Reaksi positif kerajaan dalam isu ini dilihat berada dalam arah yang betul. Kerajaan mungkin sedar bahawa kebajikan rakyat tanpa mengira warna kulit dan kapasiti kerajaan untuk mendengar luahan rakyat jelata, adalah penting kepada pembangunan demokrasi di Malaysia.
Oleh itu, sebarang langkah yang keras bagi memaksa rakyat jelata tunduk kepada tekanan dilihat boleh menukar masalah etnik yang biasa kepada isu keselamatan negara yang sangat kompleks.

JENAKA PEMIMPIN

PUTRAJAYA : Pertukaran portfolio Kewangan dan Pertahanan antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini boleh dikaitkan dengan jelapang dan senapang."Ada orang Umno tanya saya kenapa Pak Lah bagi jelapang, ambil senapang," kata Abdullah secara berseloroh.Jelapang yang dimaksudkan merujuk kepada Kementerian Kewangan yang diibaratkan sebagai "jelapang duit" manakala senapang merujuk kepada Kementerian Pertahanan.Beliau berkata demikian di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 2008 dan majlis penghargaan kepada bekas Menteri Kewangan serta meraikan Menteri Kewangan yang baru di Kementerian Kewangan di sini.Terdahulu Najib ketika berucap di majlis itu berkata: "Perbezaan antara jadi Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan ialah apabila menjadi Menteri Pertahanan, tengah malam dapat panggilan telefon pasal plane crash tapi jadi Menteri Kewangan, tengah malam dapat panggilan telefon pasal market crash."Najib berkata demikian secara berseloroh apabila menceritakan jawapan beliau ketika ditanya oleh orang ramai sebelum ini mengenai perbezaan antara menjadi Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan."Apabila orang tanya saya lagi, mana yang lebih teruk? Plane crash atau market crash? Saya kata market crash lebih teruk sebab orang masih hidup," katanya.Abdullah mengakhiri ucapannya dengan berpantun: "Bunga Selasih tak akan layu. Terima kasih. Thank you."Di majlis itu, Abdullah turut menyerahkan nota tugas sebagai Menteri Kewangan kepada Najib.

NAK JADI HERO RAKYAT


Sebenarnya bukan hero, apabila pemimpin parti politik membangkitkan isu sosial kontrak,
tetapi ialah desperado atau telah tersepit untuk menonjolkan diri dalam keadaan merudumnya sokongan rakyat kepada parti semasa pilihanraya umum baru-baru ini. Bagi meraih semula sokongan dan menampilkan diri dan parti sebagai pejuang kaum masing-masing, maka isu sensitif dan mudah spt ini jadi mainan mereka.

Biar zaman silih berganti, sejarah bangsa dan negara ini tidak akan padam dan tetap kekal untuk diingati dan dihormati oleh semua bangsa dan parti politik. UMNO yg baik hati memberi kerakyatan kepada bukan Melayu secara jus soli demi kemerdekaan, sehingga Inggeris sendiri terkejut dan tidak sangka sama sekali, bukan sahaja merupakan mengorbanan yang amat besar, malah meletakan kaum sendiri dalam risiko perlu dihormati dan di pegang erat semua kaum terutamanya parti-parti kompenan BN yang mendakwa seiring sejalan dan setia.

Baru sahaja BN dan UMNO di uji, mereka ini mulai menunjukan belang dan sikap sebanar, dengan mengemukan tuntutan tak masuk akal dan begitu sensitif, sehinggakan kedudukan dan kuasa Raja-Raja Melayu pun di pertikaikan. adakah Kemerdekaan selama 51 tahun ini sudah begitu lama untuk membolehkan kita lupa diri dan begitu selesa mengabaikan perpaduan yang menjadi teras keharmonian negara selama ini, atau kerana di lihat UMNO seperti sudah lemah atau begitu sibuk dengan pemilihan dalaman parti, atau kerana ada segelintir pemimpin Melayu sendiri yang bersekongkol dan mengapi=apikan mereka bagi mencapai tujuan peribadinya.

Ingatlah rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu, kemusnahan bangsa dan negara akan melenyapkan segala kemewahan, kedamaian dan hargai diri tanpa mengira siapa kita, bangsa apa atau parti politik mana, semuanya akan merana, merempat dan tergadai maruah dan harga diri. Ingatlah sejarah 450 tahun bangsa dan negara ditindas dan di rampas kemerdekaannya oleh perbagai kuasa. Kini cuma baru 51 tahun tahun, adakah kita sudah selesa atau mulai lupa sejarah pahit dan penderitaan nenek moyang kita itu.

Perpaduan nasional dan masa depan negara lebih utama dari segala kepentingan. Biarlah berpada dalam segala hal, jangan mudah melatah atau termakan hasutan orang. Ingatlah pepatah lama : Dengar cakap enggang, makan buah belolok
Dengar cakap orang, kita mati bergolok.



Sekian, jumpa lagi

Sunday 19 October 2008

Sarang Tebuan Jangan Di Jolok

Salam Pengenalan

Banyak pihak begitu ghairah mempersoal dan mempertikaikan sosial kontrak, isu sensitif ini adalah merupakan kunci kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan negara selama ini.

Jng menjadi hero dng menjolok sarang tebuan, akibatnya boleh memusnahkan negara. Apabila saat itu melanda, tidak kira siapa, apa anutan dan fahaman politik mahupun kaum yg ada di negara ini akan merasai kemusnahan dan kehancuran. Di kala ini sesal tidak berguna lagi, nasi sudah menjadi bubur, insaflah dan lihatlah tragedi yg menimba banyak negara di dunia ini.

Sejarah Kedah

Sejarah Kedah
Peta bertarikh 1730 ini menunjukkan Empayar Benua Islam Siam Nagara Kedah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails