Monday 20 October 2008

MENGENALI HINDRAF

Oleh:
Leftenan Jeneral Datuk Mohd Salleh Ismail
Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan


SEJAK beberapa bulan kebelakangan ini, antara perkembangan agak dramatik berlaku di negara kita sehingga menimbulkan kekalutan domestik dan menarik perhatian masyarakat antarabangsa adalah pergerakan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).
Malah, tindakan penyokong Hindraf yang menimbulkan kekecohan ketika Rumah Terbuka Perdana Menteri serta Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1 Oktober lalu, disifatkan sebagai 'sangat mengancam' oleh pihak kerajaan.
Hindraf yang diisytiharkan kerajaan sebagai pertubuhan haram kelmarin, adalah sebuah pergerakan yang terdiri daripada 30 badan bukan kerajaan (NGO) Hindu. Hindraf mula mendapat perhatian apabila pemimpinnya mengambil tindakan mengejut memfailkan tuntutan saman ke atas Kerajaan British di Mahkamah Agung atas alasan London gagal memastikan hak pekerja India yang dibawa mereka, terjamin di sisi undang-undang Persekutuan selepas merdeka.
Dokumen berhubung tuntutan itu juga difailkan di Mahkamah British dengan memfokuskan kegagalan Suruhanjaya Reid yang didakwa gagal menggariskan dengan jelas kebebasan mereka untuk memuja dan beragama dalam masyarakat pelbagai bangsa, mengambil kira pengambilan etnik India dalam Perkhidmatan Awam Malaysia dan mewujudkan formula polisi ekonomi yang efektif bagi meningkatkan kedudukan sosioekonomi golongan minoriti India.
Atas sebab kelalaian ini, Hindraf mendakwa 'kesemua 523 sekolah Tamil di Malaysia gagal menerima bantuan yang sama seperti sekolah bantuan penuh sebagaimana sekolah kebangsaan'. Kanak-kanak India juga didakwa tidak menikmati 'peluang yang sama bagi pendidikan tinggi', dalam perniagaan dan pelantikan ke jawatan tinggi dalam sektor perkhidmatan awam.
Menurut dokumen itu juga, diskriminasi ini akhirnya menyebabkan etnik India di Malaysia berada pada kedudukan yang rendah.
Memang tidak dinafikan etnik India di Malaysia, pada mulanya bekerja sebagai buruh kasar di ladang dan pembinaan jalan raya serta kereta api turut membantu membangunkan ekonomi negara, khasnya dalam perkembangan infrastruktur dan pertumbuhan pesat dalam industri getah serta kelapa sawit.
Dakwaan oleh etnik India terhadap kerajaan ini juga sebenarnya pernah disuarakan oleh etnik Cina sejak merdeka dulu. Antara kekecewaan paling besar kaum Cina adalah berkaitan pelaksanaan polisi kerajaan berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Dalam pada itu, Hindraf juga berusaha mendapat perhatian antarabangsa berhubung masalah etnik India apabila turut merayu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Rapat umum dan demonstrasi yang dianjurkan mereka juga mendapat liputan media di India.
Hindraf pada asalnya adalah kempen rayuan oleh orang kebanyakan daripada kumpulan etnik India. Namun, kini ia bertukar kepada isu berbaur hasutan perkauman. Peningkatan suara etnik India terhadap kedudukan mereka yang terpinggir ini jelas memberi petunjuk berlaku perluasan skop dan masalah sosial mereka yang semakin kompleks kini.
Kebanyakan masalah itu sememangnya wajar diberi perhatian. Namun, etnik India seharusnya menyuarakan masalah mereka mengikut saluran betul berasaskan undang-undang dan tidak sepatutnya menyentuh isu sensitif yang boleh mencetus ketegangan kaum di negara ini.
Usaha Hindraf menggunakan sentimen perkauman ini juga dilihat tidak memungkinkan masalah etnik India di Malaysia ini akan diselesaikan. Apa yang jelas, Hindraf hanya akan menjarakkan lagi hubungan rakyat pelbagai kaum dan meningkatkan perpecahan pelbagai etnik.
Bagaimanapun, ada satu perkara yang ketara berhubung Hindraf iaitu rapat umum dan demonstrasi mereka ini dilihat tidak mempunyai kaitan ketara dengan mana-mana parti pembangkang. Ini memperlihatkan Hindraf sebuah kumpulan di luar sistem politik dominan yang diwakili Barisan Nasional (BN) mahupun pelbagai parti pembangkang lain.
Sebagai penutup, ada beberapa pemerhatian yang boleh dirumuskan iaitu:
Pertama, adalah tidak dinafikan bahawa ketika Suruhanjaya Reid merangka Perlembagaan Negara, suruhanjaya ini terlepas pandang beberapa isu yang boleh memberi implikasi langsung kepada kepentingan jangka panjang sesebuah etnik minoriti dan kegagalan ini menyebabkan pihak birokrasi mengabaikannya. Namun begitu, adalah tidak wajar untuk menghukum Kerajaan British sekarang ini di atas kesilapan yang dibuat lebih 50 tahun dulu.
Kedua, seperti dibincangkan, masalah etnik India yang diperjuangkan oleh Hindraf tidak hanya terhad kepada etnik India saja. Etnik Cina, misalnya menyuarakan rasa tidak puas hati mereka lebih lama sejak beberapa dekad lalu. Pihak etnik Cina juga kurang senang dengan polisi ekonomi dan turut bimbang sekiranya polisi kerajaan yang bakal dilaksanakan, mungkin mempengaruhi hak kebudayaan, peluang ekonomi dan pendidikan mereka.
Ketiga, kempen Hindraf juga memperlihatkan bahawa komuniti India mempunyai saluran terhad dalam menyuarakan masalah mereka untuk meraih perhatian kerajaan. Dalam konteks ini, pihak MCA membuat kajian lebih baik dalam mendalami masalah etnik Cina dan kerap menganjurkan pertemuan serta dialog dengan kerajaan bagi membincangkan kaedah terbaik menyelesaikan masalah masyarakat Cina.
Malah, ada NGO Cina seperti 'Chinese Assembly Hall', pertubuhan perdagangan dan puak/suku juga kerap menyuarakan permasalahan kaum Cina menerusi memorandum berdasarkan kajian menyeluruh. Pendekatan ini dilihat banyak membantu kerajaan dalam merangka polisi dan pelaksanaan bagi memastikan pendekatan lebih seimbang atau sebaik mungkin dapat memenuhi keperluan atau kepentingan setiap kumpulan etnik.
Keempat, kempen Hindraf boleh disifatkan sebagai demonstrasi kepada rasa tidak puas hati mereka terhadap kepemimpinan MIC. Sebagai reaksi, Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu menegaskan beliau akan menstruktur semula parti menerusi apa yang digelar proses 'pembersihan'.
Dengan cara ini, kepemimpinan MIC berharap dapat memperkukuhkan lagi kedudukan mereka dan memecat mereka yang tidak efektif bagi meraih sokongan etnik India. Peningkatan simpati kepada Hindraf dalam MIC dan komuniti India terbukti apabila sokongan terhadap BN berkurangan pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac lalu sehingga membawa kepada kemenangan pembangkang di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Kelima, satu langkah bersifat pemulihan yang boleh dilakukan kerajaan ialah membentuk sebuah jawatankuasa bagi menemuramah komuniti India daripada pelbagai daerah dalam negara secara mendalam serta menghasilkan senarai soal jawab yang bersesuaian bagi melihat reaksi etnik berkenaan terhadap beberapa isu seperti polisi ekonomi, pendidikan dan kebudayaan yang dilaksanakan kerajaan.
Dengan cara ini, kerajaan akan beroleh maklumat lebih relevan berkaitan masalah etnik India dan boleh mencari penyelesaian yang lebih praktikal.
Keenam, fenomena Hindraf adalah petunjuk kepada dilema etnik India terhadap masa depan mereka dan strategi efektif dalam memulihkan nasib mereka yang dikatakan terpinggir selama ini. Dengan membawa isu ini kepada pihak antarabangsa mahupun menekan New Delhi untuk mencampuri urusan etnik India di Malaysia dilihat tidak dapat membantu mengurangkan dilema berkenaan.
Terakhir, pilihan paling praktikal kepada etnik India dalam memperjuangkan kepentingan mereka adalah menerusi pihak kerajaan. Protes oleh pihak Hindraf dilihat menyedarkan kerajaan akan seriusnya masalah terbabit.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga sudah mengarahkan Presiden MIC untuk membentuk jawatankuasa khas bagi melaksanakan kajian mendalam berhubung permasalahan etnik India dan mencari langkah bagi meningkatkan kedudukan mereka dalam arena politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.
Reaksi positif kerajaan dalam isu ini dilihat berada dalam arah yang betul. Kerajaan mungkin sedar bahawa kebajikan rakyat tanpa mengira warna kulit dan kapasiti kerajaan untuk mendengar luahan rakyat jelata, adalah penting kepada pembangunan demokrasi di Malaysia.
Oleh itu, sebarang langkah yang keras bagi memaksa rakyat jelata tunduk kepada tekanan dilihat boleh menukar masalah etnik yang biasa kepada isu keselamatan negara yang sangat kompleks.

No comments:

Sejarah Kedah

Sejarah Kedah
Peta bertarikh 1730 ini menunjukkan Empayar Benua Islam Siam Nagara Kedah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails