Monday 1 December 2008

PILIHANRAYA KUALA TERENGGANU




TAKZIAH DAN PILIHANRAYA KECIL KUALA TERENGGANU

Pertamanya Pak Pelandok merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga Allahyarham YB. Dato Razali Ismail, Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan kepada YAB Menteri Besar Terengganu yang kehilangan insan tersayang apabila telah kembali ke Hadrat Ilahi..........Al-Fatihah............

Dengan kembalinya ke Rahmatullah YB. Dato Razali Ismail ini bermakna pilihanraya kecil bagi Parlimen Kuala Terengganu akan berlaku dalam tempoh 60 hari lagi. Sudah pasti persiapan kearah itu mula diatur dan dipersiapkan oleh parti-parti politik yang ada.

Yang paling menarik ialah cakap-cakap, lobi-melobi dan ramal-meramal siapakah yang akan dicalonkan oleh parti masing-masing di kawasan berkenaan. Tak kiralah BN atau PAS mahupun PKR sudah mula berkira-kira dan meneropong siapakah calon yang boleh di letakkan untuk meraih kemenangan di satu lagi kawasan penting di bumi `Penyu Menangis' ini.

Parlimen Kuala Terengganu merangkumi DUN Batu Buruk, Wakaf Mempelam, Ladang dan Bandar merupakan kawasan panas walaupun Parlimen ini telah diwakili oleh Allahyarham selama 2 penggal. Beliau merupakan anak watan Terengganu yang berjasa bukan sahaja dalam karier sebagai wakil rakyat, malah sebagai pendidik dan pegawai pelajaran yang begitu dedikasi sebelum menjadi wakil rakyat yang gigih menabur bakti dan membela nasib rakyat.

Pak Pelandok masih terdengar suara dan semangat beliau dan masih tergiang-giang apabila setiap pagi beliau bercakap melalui Radio Terengganu memberikan motivasi dan pandangan bernas bukan sahaja kepada para pelajar malah seluruh rakyat Terengganu dan siapa sahaja yang mendengar siaran Radio Terengganu.

BN perlulah mencari pengganti yang berwibawa setara dengan Allahyarham, agar usaha murni membangunkan prasarana, ekonomi dan kehiduapan rakyat di Kuala Terengganu akan berkesinambungan. Pemilihan calon jangan mengikut emosi, blok atau kroni. Calon yang boleh di terima rakyat perlu di utamakan bukannya yang rapat atau blok pucuk pimpinan atau sesiapa. Calon yang dah otai perlu berada di senarai bawah. BN tak banyak pilihan Ketua Puteri Negeri, Dato' Mat Jusoh, Dato' Wan Hisyam, Dato Roslan di rasakan tidak mampu untuk menghadapi cabaran ini. Yang tinggal kini hanyalah Ketua Bahagian Dato Wan Farid dan Ketua Pemuda Negeri yang di jangka akan bersabung hebat dengan calon dari PAS pastinya Syed Azman atau Mustafa Ali.

Pilihanraya ini merupakan buah tangan terakhir Perdana Menteri sebelum bersara pada Mac 2009, dan sudah pasti segenap idea, tenaga dan strategi akan di gunakan semaksimum mungkin bagi mempertahankan imej dan maruah BN dan UMNO serta menjadi kenangan manis buat Perdana Menteri. Apatah lagi Pakatan Rakyat juga begitu optimis mencanangkan perjalanan agenda `16 September' dengan harapan untuk menambah satu lagi kerusi di Parlimen bagi Pakatan Rakyat merupakan peluang keemasan melalui pilihanraya kecil ini.

Pak Pelandok ingin menyatakan berdasarkan pengalaman di pilihanraya kecil Permatang Pauh dan beberapa pilihanraya kecil sebelum ini seperti di Batu Talam, Machap dan Ijuk, BN memang bersiap sedia dan jenteranya tersusun dengan baik dan kemas. Tetapi malangnya ianya hanya indah dan cantik di atas kertas semata-mata. Pelaksanaan kempen dan jentera tidak lancar, banyak sangat rapetape, ding dong dan sandiwaranya. Yang jelas faktor kesungguhan, keikhlasan dan kejujuran jentera yang dibarisi semua peringkat perlu benar-benar berkesan sekiranya mahukan kemenangan. Kuantiti jentera yang besar sehingga menyesakkan kawasan dan jalan raya tidak bermakna jika jentera masih bersikap bersahaja dengan acara lawatan, shoping dan mengelilingi pemimpin pusat yang datang.

Jentera BN terutama UMNO masih kaku, malu dan membisu untuk ramah berbual dan menusukkan mesej perjuangan ataupun kempen. Selain membuang masa berbual kosong dan berkumpul sesama sendiri serta lebih gemar berarak beramai-ramai kesana-sini......., pengundi tidak benar-benar dihampiri dan di pujuk. Tak tahulah jika pemantauan Pak Pelandok ini meleset.................. Kempen BN terlalu kaku dan jumud seolah-olah parti pemerintah ini baru saja ditubuhkan. Masing-masing seperti terpinga-pinga dan tidak tahu apa perlu di lakukan serta seperti tiada arahan atau matlamat yang jelas.

Berbanding dengan serangan kempen PAS, PKR dan DAP yang lebih sistemetik, hebat, bersepadu dan stategik. Kempen di peringkat akar umbi adalah penting sekali melalui ceramah umum dan penyebaran risalah propaganda maupun pemasangan banner, strimer selain penggunaan blog dan laman web yang meluas dan bertali arus.

Faktor-faktor kempen seperti inilah (selain banyak faktor lagi) perlu di ambil kira oleh BN semasa berkempen, bukannya saling harap mengharap sesama jentera komponen tanpa penyelarasan yang bersepadu dan berkesan, malah dalam masa yang sama pula saling berlepas tangan serta saling tuding-menuding sesama sendiri.

Masa masih ada, pastikan jentera di gerakkan dengan benar-benar berkesan, tenaga luar dan dalam perlu di gembeling semaksimum mungkin, bukannya untuk berpesta atau melawat Keindahan Pantai Batu Buruk atau membeli batik di Pasar Payang dan Keropok Lekor di Losong semata-mata.................... Yang menang bukan bererti benar-benar kuat, tetapi adalah yang `smart' dan strateginya mengena dan berkesan.

Pak Pelandok
: Biar Pahit Tetapi Ubat, perjuangan mulia demi agama, bangsa dan tanahair adalah segala-galanya............ selamat berjuang di Kuala Terengganu.

1 comment:

Laura Grenier said...

Hi nnice reading your blog

Sejarah Kedah

Sejarah Kedah
Peta bertarikh 1730 ini menunjukkan Empayar Benua Islam Siam Nagara Kedah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails